Monday, March 20, 2006

Berkongsi Untung Mengikut Kontrak Al-Mudharabah

Urusan kontrak dalam Islam hendaklah jelas. Ciri ini penting dan wajar pula dipatuhi oleh pihak-pihak yang berkontrak agar setiap aspek kontrak menjadi telus. Dengan ini tanggung jawab dan kewajipan antara pihak yang berkontrak akan menjadi nyata dan sekaligus dapat mengelak timbulnya penafsiran yang berat sebelah. Kontrak yang jelas akan mengelak adanya unsur gharar yang boleh merosakkan kontrak itu sendiri.

Sehubungan ini Allah menyeru sesiapa yang terbabit dalam urusan hutang piutang supaya menulisnya sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 282 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu berurusniaga dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke masa yang tertentu, maka hendaklah kamu catatkannya dan hendaklah ada seorang penulis di antara kamu yang mencatat dengan adil”. Mana-mana kontrak, terutamanya yang berkaitan dengan urusan perniagaan akan mengandungi unsur gharar sekiranya kontrak berkenaan mengandungi perkara-perkara yang tidak jelas berhubung dengan kewajipan dan tanggungan pihak-pihak yang berkontrak.

Misalnya operasi takaful adalah berasaskan kontrak al-Mudharabah dan digabungkan pula dengan tabarru’ yang membawa maksud persetujuan derma atau pemberian tanpa hak mendapat balasan. Secara praktikal, tabarru’ yang dipersetujui oleh semua peserta itu akan diambil samada sebahagian atau keseluruhan wang sumbangan yang dibayar peserta termasuk pulangan pelaburan keatas wang sumbangan tersebut bagi tujuan yang khusus. Sesuai dengan matlamat saling jamin menjamin dikalangan peserta, tujuan yang khusus bermaksud usaha yang sistematik untuk mengumpul dana yang akan menyediakan bantuan kewangan kepada peserta yang menanggung kerugian kerana ditimpa musibah atau kecelakaan. Selain itu tabarru’ juga bertujuan untuk memastikan kumpulan wang takaful itu sendiri sentiasa stabil dan kukuh melalui strategi takaful semula secara kaedah mengagihkan kerugian atas kehilangan kepada beberapa pengendali takaful lain seumpama sistem sindiket, dalam usaha mengurang serta meringankan beban tanggungan kumpulan wang tersebut jika banyak musibah berlaku.

Mengambil wang tabarru’ untuk membiaya belanja pengurusan seperti membayar gaji warga kerja atau upah samada dalam bentuk insentif atau imbuhan lain kepada pegawai pemasaran atau agen, meskipun pada dasarnya harus di sisi syarak, hendaklah dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang tertentu. Antaranya mematuhi syarat ta’ayin yang menghendaki penyumbang wang maklum dan mengetahui semasa kontrak dimeterai, berapa banyak wangnya akan diambil untuk membayar upah tersebut. Bagi takaful syarat ini amat penting dijelaskan dalam kontrak supaya peserta redha dengan penggunaan wang yang ditabarru’nya itu, dan lebih penting agar tidak terjejas matlamat takaful untuk mengumpul wang yang akan diguna sebagai bantuan bersama oleh peserta. Proses ini juga boleh mengukur sejauh mana keihsanan dalam kendalian takaful itu sendiri. Tanpa penjelasan sedemikian dibimbangi akan berlaku lebih besar wang tabarru’ itu diguna untuk menampung belanja pengurusan. Perbuatan sedemikian menjadikan upah lebih diutamakan dan amaunnya terlalu tidak munasabah. Kontrak akan menjadi berat sebelah.

Atas hakikat inilah kontrak mudharabah bagi operasi takaful sedikit berbeza dengan kontrak mudharabah dalam urusan perbankan. Dalam perbankan wang atau modal mudharabah sebagai deposit dalam bank akan diperolehi kembali oleh pendeposit jika pelaburan tidak rugi, selain daripada perkongsian untung pelaburan ke atas wang modal, mengikut nisbah yang disepakati bersama. Sebagai contoh jika simpanan al-Mudharabah di bank untuk tempoh deposit setahun adalah RM1,000 maka deposit asal ini akan dikembalikan sepenuhnya kepada pendeposit apabila genap tempoh sekiranya pelaburan keatasnya tidak rugi sehingga memakan deposit pokok. Diwaktu yang sama jika pada akhir tempoh deposit, pulangan ke atas pelaburan deposit tersebut RM100 maka sekiranya perkongsian al-Mudharabah dibuat mengikut nisbah 7:3 diantara pendeposit dan bank RM70 akan menjadi hak pendeposit dan baki RM30 akan menjadi hasil pendapatan bank.

Sebaliknya di bawah takaful perkongsian untung al-Mudharabah dikira selepas ditolak bahagian tabarru’. Dalam operasi takaful am yang menyediakan produk melindungi hartabenda tempoh takaful adalah rata-rata setahun. Ertinya selepas tempoh ini, jika ada untung akan ada perkongsian untung tersebut di antara pihak yang berkontrak. Wang sumbangan sebagai modal mudharabah adalah baki selepas ditolak bayaran manfaat tuntutan kepada peserta yang ditimpa malang, kos takaful semula bagi mengagihkan bayaran manfaat tuntutan serta rezab. Lebihan daripada ini dan dicampurkan dengan pulangan keatas pelaburan wang sumbangan adalah untung keseluruhan operasi takaful am. Sesuai dengan kontrak al-Mudharabah apa-apa untung yang diperolehi ini akan dibahagi mengikut nisbah yang dipersetujui apabila cukup tempohnya.

Dengan kata lain, takrif untung atau rugi takaful am ialah jumlah wang sumbangan takaful yang diterima dari semua peserta ditolak bayaran manfaat tuntutan kepada peserta yang ditimpa musibah, kos takaful semula dan rezab yang mana ketiga-tiga item ini merupakan komponen dalam tabarru’. Setelah diambilkira apa-apa pulangan pelaburan jumlah keduanya adalah untung yang akan tertakluk kepada perkongsian antara peserta dengan pengendali takaful mengikut kontrak al-Mudharabah. Yang demikian komponen untung adalah lebihan wang sumbangan selepas dibayar ketiga-tiga kos tersebut yang mana istilah teknikalnya dipanggil lebihan pengunderitan (underwritting surplus). Sebaliknya jika jumlah manfaat tuntutan melebihi wang sumbangan disebabkan banyak musibah dan kecelakaan menimpa hartabenda yang dilindungi maka akan berlaku kurangan atau defisit. Dalam hubungan ini takrif keuntungan pengunderitan ini tiada bezanya dengan takrif yang sama dalam insurans konvensional. Tetapi bagi Takaful Malaysia, belanja operasi pengurusan termasuk komisen agensi tidak diambil daripada wang sumbangan.

Berpandukan struktur di atas, adalah jelas modal mudharabah bagi kiraan perkongsian untung merupakan baki wang sumbangan setelah ditolak semua tuntutan, takaful semula dan rezab dan dicampur pulangan pelaburan. Model operasi takaful am sebegini yang telah dibangun dan dilaksanakan oleh Takaful Malaysia terbukti mantap dan berdayajaya. Asas ini diiktiraf diperingkat antarabangsa. Selain itu ia jelas menepati prinsip adil dan ihsan, sebagaimana yang diseru Islam. Takaful Malaysia yang kini menjangkau hampir 20 tahun operasi sehingga kini berjaya membayar untung kepada peserta pada kadar dalam lingkungan 35% sehingga 40% daripada wang sumbangan peserta. Sebagai contoh, sekiranya peserta membayar wang sumbangan RM1,000 untuk melindungi kenderaannya, pada akhir tempoh takaful setahun, peserta berkenaan akan memperolehi perkongsian untung RM350. Atas hakikat inilah pengkaji sistem insurans Islam memperakukan peserta Takaful Malaysia berpeluang mendapat perlindungan percuma. Kenyataan ini barangkali benar sekiranya peserta terbabit menyertai produk takaful melindungi kenderaannya tiga tahun berturut-turut dengan wang sumbangan tetap pada amaun RM1,000 setahun. Jika kadar untung mudharabah 35%, maka amaun untung setiap tahun RM350 itu cukup untuk membayar wang sumbangan tahun keempat.

Sebaliknya jika jumlah manfaat tuntutan yang dibayar untuk sesuatu tempoh lebih besar berbanding amaun wang sumbangan yang diterima dan pulangan pelaburan tidak seberapa maka kemungkinan kumpulan wang takaful am menghadapi defisit atau kerugian. Alhamdullilah, keadaan yang tidak diingini ini tidak pernah menimpa Takaful Malaysia, dan kita doakan semoga ia tidak berlaku. Namun seandainya ini terjadi, kerugian akan ditanggung oleh peserta sahaja kerana mengikut kontrak mudharabah kerugian tidak dikongsi oleh pengendali. Apapun bila rugi Takaful Malaysia juga turut menanggung bebannya kerana sudah hilang hak berkongsi untung. Barangkali persoalannya ialah bagaimana defisit atau kerugian ini boleh ditampung bagi memastikan manfaat tuntutan kepada peserta yang ditimpa musibah tetap dapat dibayar. Ada dua cara menanganinya iaitu dengan kemudahan pinjaman al qardhul hassan atau pinjaman kebajikan yang boleh disediakan dari kumpulan wang pemegang saham. Sementara pilihan kedua ialah dengan membawa ke hadapan kerugian berkenaan. Sebagai strategi penting untuk mengelak keadaan yang tidak diingini ini, adalah menjadi kewajipan dan cabaran kepada pengendali, sebagai pemegang amanah semua peserta, memastikan hartabenda atau risiko yang hendak dilindunginya itu dinilai dengan teliti mengikut prinsip-prinsip penilaian risiko berasaskan perkara-perkara uruf yang menjadi amalan industri insurans konvensional bagi memastikan daya pengurusan profesional. Adapun kaedah perkongsian mudharabah takaful keluarga berbeza dari takaful am.

Sumber : http://www.takaful-malaysia.com.my/

0 Comments:

Post a Comment

<< Home