Monday, March 20, 2006

Kaedah al-Mudharabah Memberi Untung Besar

Mengikut prinsip Syariah, secara umumnya, sesuatu akad atau perjanjian khususnya yang bersangkut paut dengan urusan perniagaan, sekiranya dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang berakad apa-apa syarat dan peraturan boleh dimasukkan ke dalam akad atau perjanjian selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. Apapun syarat dan peraturan tersebut haruslah tidak berat sebelah sehingga merugikan sebelah pihak. Dengan kata lain satu pihak boleh ambil ambil peluang ke atas pihak yang satu lagi kerana Islam amat mementingkan konsep adil dan ihsan yang menjadi tonggak manusia berinteraksi dengan makhluk lain. Malahan dengan binatang pun Islam menghendaki manusia berlaku adil dan menunjukkan sifat kasihan belas, maka manusia amat ditegah melakukan penindasan dan penganiayaan dalam hubungan atau muamalat sesama mereka.

Berpandukan hakikat ini kerangka asas operasi takaful yang digunapakai oleh pengendali-pengendali takaful di Malaysia, khususnya Takaful Malaysia adalah berasaskan prinsip al Mudharabah dan al tabarru'. Sementara pengendali-pengendali takaful dikebanyakan negara Arab dan Sudan melaksanakan hak berkongsi untung dan saling bantu membantu ini mengikut prinsip al Wakalah. Perbezaan ini hanya yang berkaitan takaful am sahaja dan tidak ketara bagi operasi Takaful Malaysia.

Meskipun kaedah al Mudharabah dan al Wakalah menyediakan hak berkongsi untung diantara peserta takaful yang menyumbang wang sumbangan atau premium dengan pengendali, cara yang digunakan dalam menentukan perkongsian untung berbeza antara kedua-dua kaedah ini. Sementara dikalangan pengendali takaful yang mengamalkan prinsip al Mudharabah juga tidak sama dalam cara perkongsian untung ditentukan. Ini dapat dilihat di Malaysia yang telah mempunyai dua syarikat atau pengendali takaful. Salah satunya, Takaful Malaysia, di bawah Kumpulan Bank Islam, merupakan syarikat perintis di Malaysia dan juga di rantau Asia, yang ditubuhkan pada tahun 1984 berpegang kepada prinsip al Mudharabah yang telah ditetapkan ciri-cirinya oleh kebanyakan ulamak. Ciri-ciri al-Mudharabah ini dipatuhi dan diamalkan oleh hampir keseluruhan perbankan Islam.

Perbezaan nyata adalah dasar kewangan yang mempengaruhi sistem perakaunan. Di bawah prinsip al Mudharabah yang memberi hak berkongsi untung diantara pengendali takaful dengan peserta, wajar dipastikan terlebih dahulu ada perolehan untung yang sebenar untuk membolehkan terlaksananya perkongsian untung itu. Dalam komponen untung takaful am ia termasuk lebihan wang sumbangan selepas ditolak kos tuntutan, rizab dan takaful semula. Oleh itu wang sumbangan seperti yuran wajar diperolehi atau diterima terlebih dahulu oleh pengendali takaful daripada peserta sebelum untung dapat dikira dan dikongsi. Oleh itu dasar kewangan tunai (cash accounting basis) adalah sesuai dipakai. Sekiranya pengendali takaful mengamalkan asas perakaunan akrual maka dasar kewangannya sama seperti `written premium basis' (asas premium yang dibuku) yang digunapakai oleh insurans konvensional di mana wang premium belum di bayar tetapi telah diambil kira dalam buku syarikat insurans. Bagi insurans konvensional ini tiada menjadi masaalah kerana perjanjian tidak berdasarkan perkongsian untung. Wang premium menjadi hak syarikat kerana akad insurans adalah mengikut jual beli. Yang demikian pengendali takaful yang memakai kaedah al Wakalah hanya dapat menentukan kadar untung, jika ada, untuk peserta selepas buku kira-kira diaudit dan ditutup dan tempoh penyertaan tamat. Dengan kata lain peserta terpaksa menunggu selepas Penyata Akaun diluluskan oleh mesyuarat agong tahunan sebelum mengentahui adanya untung al Mudharabah atau sebaliknya. Oleh itu peserta yang menyertai dalam bulan akhir satu-satu tahun kewangan terpaksa menunggu kira-kira dua tahun, sedangkan tempoh penyertaan takaful hanya setahun sebelum mengetahui ada atau tidak untung al Mudharabah. Selain itu penyertaan diterima setiap hari.

Perbezaan dasar kewangan yang kedua adalah berkaitan belanja pengurusan. Umumnya mengikut prinsip al Mudharabah, ulama berpegang kepada pandangan supaya menjaga prinsip adil dan ihsan. Sehubugnan ini belanja pengurusan tidak dicaj keatas wang sumbangan atau kumpulanwang takaful. Ini bererti wang sumbangan tidak diguna oleh pengendali takaful untuk membayar gaji kakitangan, sewa pejabat, bil telefon dan lain-lain belanja operasi. Wang sumbangan dibelanjakan semata-mata untuk manfaat peserta iaitu tuntutan, takaful semula dan Rizab teknikal untuk memperkuatkan kedudukan kewangan kumpulanwang takaful. Semua belanja pengurusan dibiayai oleh wang modal atau kumpulanwang pemegang saham sebagaimana yang diamalkan oleh Takaful Malaysia. Yang demikian peserta Takaful Malaysia misalnya tidak berhak menyoal atau menjadikan isu mengapa Takaful Malaysia tidak berpindah pejabat ke lokasi yang sewanya lebih murah kerana kos sewa ini ditanggung oleh pemegang saham. Atas hakikat ini jugalah Takaful Malaysia tidak melantik agen atau wakil untuk memasarkan produknya seperti agen insurans yang imbuhan komisen diambil dari wang sumbangan. Semua imbuhan eksekutif pemasaran Takaful Malaysia dibayar menggunakan kumpulanwang pemegang saham.

Namun begitu tidak bererti belanja pengurusan tidak boleh diambil dari wang sumbangan di bawah amalan kaedah al Mudharabah. Ada ulama yang membenarkan perbuatan ini tetapi peserta sebagai pihak yang menyumbang wang, wajar tahu dan amaunnya biarlah munasabah bagi memelihara kesejahteraan dan kesaksamaan akad. Pandangan ulama ini dikaitkan dengan bayaran upah. Tetapi pihak yang mengeluarkan wang untuk kos upah itu harus tahu dan izin amaun upah yang hendak di bayar itu. Ringkasnya struktur akad takaful adalah jelas, nyata dan tulus.

Pengendali takaful yang menggunakan prisnip al-Mudharabah yang memilih pandangan ulama ini melaksanakan operasinya dengan membesarkan bahagian tabarru'. Dengan kata lain peserta bersetuju sebahagian besar wang sumbangannya ada sehingga 90% di bayar untuk tabarru bagi membolehkan pengendali menggunakan sumbangan tabarru' tersebut untuk membiayai pelbagai kos pengurusan pengendali termasuk gaji, imbuhan pekerja dan agen. Kaedah ini mengikut ulama kurang sempurna akadnya kerana pecahan bayaran pengurusan wajar diketahui oleh peserta yang menyumbangkan wang sumbangan. Kesannya perkongsian untung kepada peserta adalah terlalu kecil mengikut kaedah ini berbanding dengan asas perakaunan Takaful Malaysia misalnya kerana tidak banyak untung yang diperolehi kerana wang sumbangan telah digunakan pengendali untuk membiayai belanja pengurusan. Sesungguhnya tabarru' itu sendiri harus ada hadnya dan khusus untuk tujuan tertentu.

Yang demikian penyumbang wang sumbangan atau peserta takaful, Mudharabah sebagaimana yang dilaksanakan oleh Takaful Malaysia itu lebih menguntungkan. Perkongsian untung diantara peserta dengan pengendali dikira mengikut untung kasar iaitu sebelum pengendali memotong belanja pengurusan. Oleh itu peserta akan memperolehi kadar untung yang tinggi. Sebagai contoh Takaful Malaysia membayar untung kepada peserta yang berhak bagi takaful am tidak kurang 35% daripada wang sumbangan sepanjang lima tahun lalu.

Sumber : http://www.takaful-malaysia.com.my/

0 Comments:

Post a Comment

<< Home