Monday, March 20, 2006

Takaful Itu Sistem..


Dalam apa-apa bidang perniagaan berdayajaya atau maju mundur sesebuah institusi perniagaan antara lain dipengaruhi oleh kualiti serta kekuatan pengurusannya. Betapa baik sekalipun pelan perniagaan atau perancangan pemasaran dan produk yang disediakan, dengan pasaran yang luas, sekiranya pengurusan lemah segala perancangan atau pelan bertindak yang dilaksanakan, besar kemungkinan bidang perniagaan yang dijalankan sukar berkembang.



Bagi takaful, sebagai suatu bidang dan sistem yang baru, selain pengurusan yang berdaya kualiti model yang dijadikan rangka struktur operasinya juga penting dalam memastikan kejayaannya. Selain itu penggunaan istilah takaful, perkataan Arab yang menggambarkan sistem insurans secara Islam dapat memberi keyakinan kepada masyarakat untuk membezakan dengan insurans konvensional. Kini takaful dikira sebagai nama generik sebagai jenama insurans secara Islam. Oleh itu ia harus dilbezakan istilah takaful mengikut pengertian teknikal atau terjemahan literal bahasa Arabnya. Perbezaan istilah ini akan mengatasi kekeliruan yang mungkin timbul kerana pada asasnya takaful seperti insurans menyediakan khidmat perlindungan kewangan akibat kerugian atau kehilangan kesan ditimpa sesuatu musibah.


Pada masa ini kurang usaha oleh negara-negara Islam khasnya untuk menyeragamkan pemakaian istilah takaful. Umpamanya ada negara yang menggunakan nama insuran Islam sebagai sistem insurans mengikut Syariah. Paling tidak konsistenadanya pengendali yang mengguna kedua-dua istilah takaful dan insuran Islam. Misalnya ada pengendali yang mengguna insuran Islam untuk istilah perniagaan am dan takaful untuk insuran nyawa secara Islam. Bagi menyeragamkan istilah, dalam Persidangan Kemuncak Ketua-Ketua Negara D-8 di Dhaka, Bangladesh pada Februari 1999 telah dipersetujui istilah takaful wajar dipakai. Dengan adanya kesedaran ini sudah mula berlaku perubahan lebih banyak pengendali-pengendali baru yang didirikan memakai nama takaful seperti Takaful International, Amana Takaful dan Takaful Al Arabia Wal Malaysia.


Malaysia sejak mula sistem insurans secara Islam diterokai dalam awal tahun lapan puluhan, atas perakuan Badan Petugas Bagi Mengkaji Sebuah Syarikat Insurans Secara Islam Kerajaan bersetuju memakai istilah takaful. Lawatan undang-undang khas bagi mengawalsellia kendalian takaful dipanggil Akta Takaful 1984. Perakuan oleh badan Petugas berkenaan ini dibuat memandangkan takaful mempunyai konsep yang berbeza dengan insurans konvensional. Sehubungan itu asas kontraknya tidak sama, tidak lagi mengikut akad jual beli dimana pemegang polisi membeli polisi insurans, yang dijual oleh syarikat insurans konvensional. Tetapi mengikut ulamak akad jual beli ini tidak memenuhi rukun jual beli mengikut Syariah yang menyebabkan perjalanan insurans konvensional itu tidak selari dengna kehendak syarak.


Asas hakikat inilah kendalian takaful dibangunkan mengikut asas al Mudharabah dan al tabarru’. Al Mudharabah bermaksud berkongsi untung manakala al tabarru’ bererti menderma. Sesuai dengan maksud menderma tabarru’ boleh sebahagian atau keseluruhan wang sumbangan bagi tujuan khusus. Dalam konteks takaful seperti insurans tujuan tabarru’ sewajarnya untuk menyediakan manfaat tuntutan apabila seseorang peserta menghadapi kerugian atau kehilangan kerana ditimpa musibah. Bagi takaful keluarga yang menyediakan produk tabungan dengan tempoh penyertaan yang panjang seperti polisi insurans nyawa, bahagian tabarru’ mengikut kadar-kadar tertentu diasingkan dari wang sumbangan untuk tabungan.


Tetapi bagi takaful am yang menekankan kepada perlindungan dan tidak mengutamakan tabungan seperti produk melindungi hartabenda termasuk kenderaan, kebakaran rumah, kecurian stok perniagaan, kemalangan diri dan seumpamanya yang secara am hanya menyediakan tempoh penyertaan setahun, bahagian tabarru’ tidak diasingkan ke dalam satu akaun atau dana khas. Dalam konteks ini tabarru’ berlaku apabila bayaran manfaat tuntutan dibuat kepada peserta yang ditimpa malang. Dari sinilah timbulnya penggunaan dua rangka struktur untuk takaful am: iaitu al Mudharabah dengan menggabungkan perakaunan tabarru’ atau al wakalah yang dibawahnya juga ada perkongsian untung dan menderma.


Sebagai contoh Takaful Malaysia menggunakan prinsip al Mudharabah dengan mematuhi rukun al Mudharabah yang ketat dan begitu juga pengendali takaful di Negara Brunei Darussalam. Tetapi ada juga pengendali takaful yang menggandingkan al Mudharabah dan al Wakalah dalam kendalian takaful masing-masing. Namun bagi negara-negara Arab dan Sudan pengendali takaful di sana kebanyakan menekankan kepada struktur berasaskan al Wakalah.


Walaupun kedua-duanya harus disisi Syariah, wajar dipertimbangkan juga kesesuaian dari kacamata menepati prinsip adil dan ihsan. Ertinya diantara dua rangka struktur ini harus dilihat yang mana satukah dapat memberi nilai tambahan kepada pengendali yang mengeluarkan modal untuk mendiri dan menyediakan operasi takaful dan peserta yang mengeluarkan wang sumbangan bagi menjana dan mengembangkan operasi takaful itu sendiri melalui pembentukan kumpulanwang takaful. Dalam urusan `syirkah’ setiap pihak yang berakad akan tertakluk kepada tanggungjawab dan kewajipan masing-masing mengikut prinsip-prinsip tertentu.


Rangka struktur yang sesuai juga dikira amat mustahak dalam memastikan sistem pengurusan dan prinsip teknikal mudah diserap dan dipraktikkan dalam sesebuah institusi perniagaan. Islam amat menekankan sistem dan daya pengurusan yang bermutu. Oleh itu pengurusan takaful wajar cemerlang dan unggul. Sehubungan ini dari sudut perusahaan, pengendali sebagai tuanpunya pengusaha harus bekerja kerap untuk mendapatkan pulangan atas pelaburan modal yang dikeluarkan. Pulangan sebegini dibenarkan mengikut Syariah. Peserta juga berharap mendapat hak perkongsian untung ke atas wang sumbangan yang dikeluarkan sehingga pengusaha dapat mengembangkan kendalian takaful, seperti yang dijanjikan dalam akad.


Kemampuan menghasilkan pulangan kepada pengendali dan kebolehan berkongsi untung dengan peserta adalah berbeza diantara dua rangka struktur ini. Sememang kedua-dua rangka struktur ini mempunyai kelebihan masing-masing. Tetapi bagi mengelak kekeliruan wajar dipakai satu rangka sahaja. Rangka struktur yang menjadi pilihan tidak akan dilihat sama dengan perjalanan insurans konvensional. Takaful itu adalah satu sistem tersendiri. Jangan sampai tanggapan sistem yang berkulitkan Islam sahaja.



Sumber : http://www.takaful-malaysia.com.my/

0 Comments:

Post a Comment

<< Home